Pengalaman Bercuti Ke Langkawi Naik ETS Bawa Anak Kecil. Seronok & Cukup Selesa

featured image

Menjelang cuti akhir tahun ni, mesti ramai yang nak rancang percutian dengan keluarga. Bagi yang ada anak, terutamanya yang masih kecil tu, kadang-kadang fikir banyak kali nak pergi bercuti ni kan? Sebabnya, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan terutamanya keselesaan mereka. Dibuatnya kalau meragam sepanjang perjalanan, rasa tak seronok pula dan hilanglah mood untuk bersantai.

Dalam segmen percutian ini, kami berbesar hati kerana Puan Hidayah Ismail sudi berkongsikan pengalaman beliau bercuti ke Langkawi dengan anaknya, Harraz. Yang menariknya, mereka sekeluarga menaiki ETS (Electric Train Service) iaitu perkhidmatan tren laju dari Sungai Buloh. Memang mudah dan seronok. Mari ikuti perjalanan mereka dan beberapa tips berguna bagi anda yang bercadang untuk ke Langkawi bersama anak-anak.

Pengalaman Bercuti Ke Langkawi Naik ETS Bawa Anak Kecil. Seronok & Cukup Selesa

Ini sebenarnya kali kedua kami berjalan-jalan ke Langkawi naik ETS. ETS ni memang sesuai bagi yang ada anak-anak sebab ia lengkap dengan tandas, surau, kantin dan banyak kemudahan lain.

Harga Tiket ETS

Kami beli tiket dari Sungai Buloh ke Arau

Harga tiket:

  • Rm71 dewasa – harga sehala
  • Rm40 budak – harga sehala

Kalau ada KTM / ETS berdekatan dengan rumah, boleh naik dari kawasan berhampiran dan tak payah pergi ke KL Sentral.

Tiket ni seeloknya beli awal, sekurang-kurangnya awal sebulan. Lagi awal lagi bagus.

Tempat Duduk Dalam ETS

Dalam tren ni ada 3 jenis tempat duduk.

Jadi masa nak beli nanti boleh pilih yang mana berkenan. Biasanya kalau nak selesa minta tempat duduk yang menghadap arah pergi.

Kemudahan Dalam ETS

  • Bawah kerusi ade plug
  • Kantin di koc C
  • Surau
  • Tandas

Harga makanan dalam tren memang berpatutan. Semuanya bahawa RM10.

Perjalanan ambil masa lebih kurang 5 jam dari Sungai Buloh ke Arau. Mula bertolak jam 7.30 pagi dan sampai ke Stesen Arau jam 12.30 tengah hari.

Stesen KTM Arau Ke Langkawi

Dari Stesen KTM Arau, boleh ambil teksi / Grab pergi ke Jeti Kuala Perlis. Perjalanan lebih kurang 30 minit dan harga teksi yang kami naik RM26. Di pintu masuk KTM Arau memang ada teksi.

Kemudian naik feri dari Jeti Kuala Perlis turun ke lLangkawi. Tempohnya sekitar 1 jam 15 minit (RM18 dewasa, RM13 budak)

*Jangan lupa beli tiket feri sekali untuk balik. Senang nak rancang perjalanan balik dengan lancar nanti.

Jeti Kuah, Langkawi

Dah sampai pun ke Langkawi.

Simpan tiket feri waktu datang tadi ya. Sebab masa balik nanti kastam akan minta tiket feri waktu datang hari tu.

Sewa Kereta

Saya sewa kereta dari di Jeti Kuah, Langkawi. Memang ramai orang buat khidmat sewa kereta di sini. Boleh pilih macam-macam kereta.

Saya dapat kereta sewa Viva RM60 dan Avanza RM80 sehari.

Tempat Menarik di Langkawi

Petang tu kami pergi jalan-jalan pulau. Kami naik bot sambil dengar tentang sejarah tempat-tempat tersebut.

Kami dapat 1 bot harga RM350. Kalau bayar untuk 1 bot tak perlu share dengan orang lain. Famili kita saja. 1 bot tu kami naik 6 dewasa dan 4 budak.

Beras Basah Island 

Cantik sangat air dekat sini. Boleh mandi-manda.

Pulau Singa Besar

Dekat sini boleh tengok banyak helang. Dalam gambar ni boleh tengok driver bot bagi helang makan kulit ayam. Dapatlah tengok helang dari dekat.

Tasik Dayang Bunting

Di Tasik Dayang Bunting ni boleh mandi, berkayak, ada swan lake dan spa kaki. Budak-budak pun boleh mandi sebab ada kolam khas untuk kanak-kanak.

Bagi yang pertama kali datang sini, jalan perlahan-lahan ya. Penat sikit nak mendaki.

Nampak tak bentuk perempuan mengandung. Itulah lagenda Dayang Bunting. Kalau naik bot, pemandu bot akan bawa kita ke sini untuk tengok pemandangan ini.

Makam Mahsuri

Di sini ada kedai-kedai jual cenderahati dan pakaian.

Bagi saya kalau dekat sini memang murah nak beli pakaian, minyak angin dan keychain.

Beras Terbakar

Di sini pun ada jual cenderahati, pakaian dan kain batik.

Nusantara Maju

Ini tempat wajib untuk singgah beli minyak gamat. Macam-macam jenis minyak lagi yang kita boleh beli dekat sini.

Boleh juga tengok gamat masak dekat sini.

Langkawi SkyCab

Saya datang sini jam 10 pagi tapi masih tak ramai orang lagi. Jadi lepas beli tiket terus dapat masuk.

Berbaloi beli Basic Package. Boleh masuk Skycab, SkyDome, SkyRex, dan 3D Art Museum.

Sky Cab

Ini pemandangan dari atas. Berangin dan sejuk.

SkyDome

SkyDome ni macam planetarium. Boleh tengok imej 3D yang ditayangkan di layar skrin pada siling. Persembahannya taklah lama, sekitar 10 minit macam tu.

3D Art Museum

3D Art Museum ni macam biasalah, rasanya mesti ramai dah tahu. Ada macam-macam lukisan realistik yang kita boleh masuk sekali ke dalamnya. Cuma kena pastikan ambil gambar dari angle yang betul.

Dalam pakej ni ada SkyRex, tapi kami lupa nak masuk. Sesuai dengan namanya, SkyRex ni pun tempat tarikan yang berasaskan simulasi 3D yang dikombinasikan dengan efek 4D. Temanya dinosaur, lebih kurang kena kejar dengan T-Rex gitulah.

Underwater World

Yang ini semua suka kan? Lebih-lebih lagi kalau bawa budak. Mereka mestilah teruja nak tengok ikan, penguin dan macam-macam lagi.

Pantai Chenang

Ini pun tempat wajib kalau dah sampai Langkawi. Dekat sini boleh mandi-manda, naik banana boat dan banyak lagi aktiviti pantai.

Sepanjang pantai ni pun ada kedai-kedai menjual pakaian, aksesori dan makanan. Di sini pun ada banyak chalet, hotel dan homestay. Memang meriah.

Kompleks HIG

Dari segi harga coklat dan pinggan mangkuk, bolehlah survey dekat Coco Valley, Haji Ismail Group dan Billion.

Pasar Thailand

Boleh sambung lagi shopping dekat Pasar Thailand ni. Tempat makan sebelah je dengan pantai.

Ada jual baju-baju, kasut, handbag, makanan Thai dan macam-macamlah lagi.

Telaga Walk @ Chenang

Kalau malas nak shopping tu bolehlah bawa anak pergi sini.

Dapat santai-santai sambil hirup udara malam.

Laksa Ikan Sekoq

Dah sampai Langkawi, kenalah cuba laksa yang terkenal ni. View depan pantai tu yang lagi seronok makan.

Sambil menikmati laksa ni, si anak pergi jalan-jalan pantai naik kuda. RM10 saja pergi balik.

Kedai Makan Kak Timah

Kami makan tengah hari di sini. Pukul 11 pagi dah mula jual makanan tengah hari. Murah dan sedap.

Desa Permata Ikan Bakar

Satu lagi tempat makan yang best. Murah dan sedap, menu wajib cuba ialah ikan bakar.

Kita boleh pilih ikan, sotong dan macam-macam lagi. Saya ambil ikan siakap bakar dengan harga RM35 seekor. Sotong masak sambal petai RM5 seekor. Harga dah termasuk masak sekali.

Dataran Lang

Haruslah bergambar dengan helang ni menandakan dah sampai Langkawi. Dataran Lang ni sebelah saja dengan Jeti Langkawi.

Bertolak Balik

Kalau ikut tiket ETS bertolak balik jam 6.24 petang.

Kami sampai stesen lebih kurang jam 5 petang sebab kena ada dekat sana sekurang-kurangnya sejam awal. Sempatlah kami mandikan Harraz sebelum naik tren balik.

Bertolak balik jam 6.24 petang, sampai ke Stesen Sungai Buloh jam 11.30 malam. Jadi, tamatlah percutian kami di Langkawi. Memang seronok dan sesuai bawa anak-anak ke Langkawi sebab ada banyak aktiviti dan tempat yang menarik untuk mereka buat di sana.

So, korang yang bercuti nanti bolehlah plan awal-awal nanti!

*Perkongsian Puan Hidayah Ismail ini telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk sebarang pertanyaan, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

http://www.buahciku.com/pengalaman-bercuti-ke-langkawi-naik-ets-bawa-anak-kecil-seronok-cukup-selesa/

Comments