Banyak jus buah-buahan untuk “kesihatan” dijual di pasaraya mahupun atas talian kini. Kerana popularitinya, kita kadang-kadang terlepas pandang tentang aspek keselamatan “minuman kesihatan” tersebut.
Seperti yang terjadi kepada seorang wanita ini yang maut selepas minum minuman kesihatan “terkenal ini” selama 6 bulan.
Wanita meninggal dunia selepas minum minuman kesihatan selama 6 bulan
Baru-baru ini, seorang wanita berusia 28 tahun tersebut meninggal secara mengejut selepas minum jus buah-buahan berwarna ungu ini setiap hari selama enam bulan.
Kejadian malang ini berlaku di Singapura tetapi jus ini telah disahkan dibuat dari Malaysia.
Menurut laporan, mangsa bernama Titinlismawati ini telah mengalami masalah sakit kaki disebabkan gout dan jus buah ini dikatakan “telah bertindak secara efektif” untuk mengurangkan sakit.
Bapanya yang berusia 61 tahun turut minum jus yang sama, dan dia juga mengakui keberkesanan produk ini. Tetapi, dia berhenti mengambilnya kerana risau ia mengandungi bahan yang terlalu kuat hingga membuatkannya begitu efektif.
Pada 20 September lalu, Titinlismawati telah mengadu yang dia mengalami sakit belakang dan terus berjumpa doktor pada keesokan harinya.
Doktor mengatakan yang dia hanya mengalami sakit biasa dan doktor telah memberikan ubat untuk mengurangkan sakit.
Tapi kemudian selepas pulang ke rumah, Titinlismawati telah mengalami sesak nafas dan bapanya telah memberikan CPR sebelum dia dikejarkan ke hospital.
Selepas cuba menyelamatkannya selama 30 minit, doktor memberitahu otak Titinlismawati sudah mati.
Keluarganya mahu meneruskan proses menyelamatkan anak perempuan mereka itu, tetapi ia tak membuahkan hasil. Titinlismawati menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 malam.
Bapanya yang mengesyaki produk ini adalah punca kematian anaknya telah menghantar minuman kesihatan tersebut kepada pihak polis untuk disiasat.
Minuman kesihatan Jus Al Sunnah dihentikan penjualannya
Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan perintah larangan penjualan tiga jenis minuman kesihatan iaitu — Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar – yang didakwa dikeluarkan syarikat Sri Saga Marketing Sdn Bhd.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini telah memaklumkan hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ke atas produk-produk berkenaan.
Mereka mendapati produk-produk ini mengandungi steroid terlarang di bawah Akta Makanan yang hanya boleh digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang yang serius.
“Hasil analisis turut mengesahkan ada di antara produk berkenaan mengandungi dexamethasone dan prenidsolone yang merupakan bahan steroid yang boleh mengakibatkan kesan sampingan serius.
“Antaranya termasuk kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, peningkatan risiko jangkitan dan katarak.”
Beliau turut mengarahkan peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyak stok produk tersebut agar menghentikan serta-merta penjualan semua produk dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk tujuan penyitaan.
Brunei juga turut menghentikan penjualan Jus Al Sunnah dan beberapa produk lain kerana mengandungi steroid merbahaya ini pada 9 Jun lalu.
Untuk keselamatan anda, ini adalah beberapa yang telah dihentikan penjualannya di Brunei:
- Jus Sunnah Gold 1001 Khasiat Jus Alternatif (Malaysia)
- Jus Al Sunnah 1001 Khasiat Jus Alternatif (Malaysia)
- Jus Penawar 1001 Khasiat Jus Alternatif Resdung (Malaysia)
- Herba Saraf Pil Proven Capsule 350mg (France)
- Royal Café Drink (Malaysia)
JANGAN berhenti minum minuman kesihatan secara mendadak
Jika anda adalah salah seorang pengguna produk-produk yang disenaraikan di atas, sila berjumpa dengan pakar kesihatan untuk nasihat dan rawatan.
Jika anda telah mengambil produk ini untuk jangka masa yang lama, JANGAN terus berhenti kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan akibat perubahan pengambilan secara mendadak serta penurunan tekanan darah yang juga bahaya.
Cuba elakkan untuk mengambil sebarang minuman kesihatan yang anda tak tahu kandungannya dan pastikan anda tahu apa isi kandungan produk yang anda ingin masukkan dalam badan.
Jika anda kenal sesiapa yang menggunakan produk ini, kongsi artikel ini dengan mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: NST, World Of Buzz
Baca juga:
Jangan ikut 5 trend diet selebriti ini, ia BERBAHAYA untuk kesihatan!
Comments
Post a Comment